|
|
Oleh PenaSeorangMuslim
IKAT PERTUNANGAN…tiada larangan dalam Islam jika wanita
membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya.
ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu
jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik
dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan
dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.
Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan
lamaran.
Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha
mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.
Namun
dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan
budaya.
Mungkin
‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat
kita.
Lihat
saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak
jauh.
Bagaimana
dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua
tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.
Bukan
saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai
kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.
Bagaimana
jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang
perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?
Mungkin
kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab
itulah ia gagal dilaksanakan.
Diharap
selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.
Wanita
meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang
Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk
puterinya Siti Habsah.
Jika
mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang
untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika
ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk
mereka.
Pernah
pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan
cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik
apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.
Jelas
Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya.
Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang
wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya
Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar
perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan
rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada
puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan
menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)
Pendakwah
dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi,
berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.
“Tidak
seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar
lelaki yang dirasakan layak untuknya.
“Malah,
tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara
berkenaan,” katanya.
Beliau
berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang
bertepatan dengan nilai agama.
“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu
keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.
“Jika
diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap
menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu
yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.
Pahrol
berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada
pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.
“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita
melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah
usaha yang sangat terpuji.
“Berjaya
atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali
berasa diri direndahkan.
Mereka
perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan
tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.
Beliau
berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga
dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.
“Ini misi
besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat,
negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada
wanita.
“Wanita
tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan
tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan
tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai
iman serta akhlak Islamiah.
“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan
terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung
belang sebagai pasangannya,” katanya.
Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah
tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak
ketika menjalankan perniagaan.
“Semua
maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu
serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.
“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini
bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan
kepada tuannya Siti Khadijah.
“Khadijah
mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima
diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya
yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.
“Allah
mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.
Beliau
menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan
keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.
“Carilah
saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita.
Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah
perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan
yang belum ada.
“Orang
yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari
petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga
meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.
“Selepas
menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan
urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan
seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.
Pahrol
berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum
berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.
“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin
Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan
tidak bertanggungjawab.
“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada
Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana
ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.
“Golongan
yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian.
Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan
maksiat,” katanya.
Beliau
berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan
kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.
“Orang
yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam
sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,”
katanya.
Sumber: http://epondok.wordpress.com/
|
Wanita Melamar Lelaki Amalan Mulia
Posted by Unknown on Saturday, 15 June 2013
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment