SEBAGAI orang Islam kita bangga melihat semakin ramai kaum wanita memakai jilbab
atau tudung menutupi kepala mereka. Pelbagai ‘fesyen’ dapat
dilihat.
Kewajipan memakai jilbab ini ditegaskan melalui firman Allah:
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan
isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka menutupi jilbab ke seluruh tubuh
mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu
mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Al-Ahzab: 59)
Sesungguhnya memakai jilbab bukan sahaja menunjukkan
dengan jelas identiti seseorang wanita muslim tetapi juga mampu memelihara
mereka daripada tatapan mata liar sehingga mereka tidak diganggu sekali gus
memastikan kesucian mereka terpelihara.
Namun dalam keghairahan kaum
wanita Islam memakai jilbab mereka juga harus memahami bahawa jilbab bukan
sekadar pakaian menutup tubuh sahaja. Mereka juga harus memastikan ia
benar-benar mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam.
Syeikh Muhammad
Nashiruddin Al-Albani dalam kitabnya, Jilbab Al-Mar'ah Al-Muslimah menyebutkan
lapan syarat jilbab syarie iaitu:
- Menutup seluruh tubuh, kecuali muka
dan telapak tangan.
- Bukan untuk tabarruj (bersolek) yang boleh
menyebabkan pandangan mata tertuju kepadanya.
- Bahannya diperbuat
daripada kain yang tebal dan tidak nipis.
- Kainnya longgar, tidak ketat
dan tidak membentuk lekuk tubuh.
- Tidak diberi memakai minyak wangi
seperti mana peringatan Rasulullah s.a.w.: Mana-mana wanita yang memakai
wangi-wangian dan kemudian berjalan di hadapan orang ramai dan mereka menghidu
baunya, maka dia adalah penzina.
- Tidak menyerupai pakaian
lelaki.
- Tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir.
- Bukan
memakainya kerana untuk mencari populariti. Ia sesuai dengan peringatan
Rasululullah melalui sabdanya: Barang siapa mengenakan pakaian untuk mencari
populariti di dunia, nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kehinaan pada
hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.
Hakikatnya, mungkin
ramai di antara kaum wanita muslim menganggap ia syarat yang agak berat apatah
lagi kepada mereka yang ternyata sudah memakai jilbab tetapi melanggar
syarat-syarat di atas.
Sesungguhnya, jika seseorang wanita itu berhasrat
menjadi seorang muslimah syarat berkenaan tidaklah begitu sukar kerana dalam
pelaksanaan syariat Islam tidak ada perkara yang sukar sebagai mana firman
Allah: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran
bagimu. (Al-Baqarah: 185)
Atas sebab itu dalam soal menutup aurat ini,
Rasulullah dengan tegas mengingatkan bahawa, Dua golongan ahli neraka yang belum
pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang
digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai
pakaian tetapi telanjang dan melentuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta
yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun
bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.
Oleh itu, sekadar
bertudung semata-mata kerana kehendak semasa bukan kerana kesedaran atas
tanggungjawab sebagai seorang muslimah, masih belum mencukupi.
Kita tidak
berhasrat mempertikaikan niat seseorang wanita yang memakai tudung tetapi
sekadar ingin mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab untuk menjadi muslimah
sejati adalah satu perkara yang wajib dan amanah yang perlu
dilaksanakan.
Bertudung tetapi melakukan banyak perkara yang dilarang
Allah sudah pasti tidak bermakna.
Cubalah lihat sekeliling kita bagaimana
sesetengah mereka yang berpakaian sedemikian tetapi tidak mencerminkan
keperibadian muslimah sebenar.
Lintang pukang
Oleh itu apabila
seseorang wanita Islam membuat keputusan memakai tudung atau berjilbab ia harus
memastikan ia bukanlah sekadar satu hiasan lahiriah semata-mata.
Ia
hakikatnya satu langkah ke arah untuk mewujudkan jati diri sebenarnya mereka
sebagai muslimah. Janganlah sekadar memakai jilbab kalau solat dan ibadat lain
masih ‘lintang pukang’.
Malahan mereka juga perlu membuang sifat-sifat
tidak elok seperti meninggikan suara, mengumpat, mencampuri urusan peribadi
orang lain dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.
Inilah keadaan
yang berlaku di sekeliling kita sekarang. Kita melihat ramai wanita Islam yang
berjilbab tetapi sejauh manakah mereka memikirkan bahawa bertudung itu tidak
semestinya menutup aurat.
Maksudnya, kepala sahaja bertudung tetapi
mereka masih melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam sama ada
dari segi perbuatan dan tata cara berpakaian.
Allah menetapkan peraturan
dalam soal menutup aurat dan mereka yang terlibat tidak harus mengatakan bahawa
adalah hak mereka untuk menentukan haluan kehidupan mereka.
Kenyataan
seumpama ini bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan tidaklah harus
bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan
Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus
mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan
sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia
telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (Al-Ahzab: 36)
Justeru
selagi masa masih ada dan di saat Allah masih memberi kesempatan kepada kita
untuk membentuk diri menjadi muslimah sejati maka rebutlah kesempatan yang
suntuk ini.
Janganlah menganggap bahawa masa sentiasa ada untuk kita
bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Ingatlah kematian yang menjemput manusia
tidak mengira umur, masa dan ketika.
tq- UM